Saturday, September 02, 2006

Pertama 2006_09

Penyoal : Pelbagai

Dijawab oleh : Ruangan Bicara Agama Utusan Malaysia bertarikh Jumaat 01/09/2006, di alamat ini.


Soalan 1
Bolehkah ustaz jelaskan apa yang dimaksudkan dengan ‘Islam agama fitrah’?

Jawapan 1
Dalam sepotong hadis Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Tiada bayi yang lahirkan melainkan ia dilahirkan dalam fitrah, maka ibu bapa dialah yang menjadikan dia yahudi, nasrani atau majusi, sebagaimana lahirnya binatang yang sempurna sifatnya (kejadiannya).

Apakah ada binatang yang lahir terputus telinganya?” Kemudian Abu Hurairah r.a. membacakan ayat yang bermaksud: “Fitrah yang Allah jadikan pada semua manusia tiada perubahan pada apa-apa yang diciptakan oleh Allah. Itulah agama Allah yang lurus.
” (Riwayat Imam al-Bukhari, no. 1385, Muslim no. 2658)

Makna perkataan fitrah ialah suci, bersih (Islam). Berdasarkan kepada hadis ini jelas kepada kita bahawa setiap anak adam yang lahir ke dunia ini dalam keadaan yang suci mengikut ketentuan Allah s.w.t.. Maka ibu bapalah yang berperanan dalam mendidik anak-anak mengikut acuan masing-masing. Sebab itulah dalam sabda Rasulullah s.a.w. tiada perkataan ‘dilahirkan dalam Islam’, maksudnya anak adam itu lahir dalam keadaan fitrah yang dikehendaki oleh Allah.

Justeru, jodoh bagi diri manusia atau pasangan bagi jiwanya ialah Islam. Apabila manusia memilih cara hidup selain Islam kita akan dapati fitrahnya akan memberontak, kehidupannya tidak lagi teratur, akhirnya dia mudah terdedah kepada kesesatan, kerosakan. Puncanya salah memilih santapan spiritual (kerohanian).


Soalan 2
Apakah perbezan air mazi dan air mani? Saya keliru dan bimbang amal ibadat saya tidak diterima.

Jawapan 2
Perbezaan antara air mazi dan air mani ialah air mani merupakan air yang keluar sama ada dengan mengadakan hubungan kelamin atau melalui mimpi atau dengan berfikir tentang jimak.

Perkara ini juga disebut oleh beberapa ulama di antaranya imam al-Ghazali, ‘air mani itu keluar dengan rasa seronok’. Pendapat yang sama disebut oleh Ibn al-Solah: “Air itu dikira air mani apabila ia keluar dengan rasa seronok.” Ulama Syafie seperti Syeikh Muhammad al-Khatib al-Syarbiniy juga ada memberi pandangan yang sama dan disokong oleh imam al-Nawawi (al-Iqna’, jld: 1, hlm: 187-188). Jelas bahawa air mani itu keluar dengan rasa seronok.

Ada pun perbezaan dari sudut fizikalnya adalah seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah dalam sepotong hadis yang bermaksud: “Air orang lelaki (air mani ) pekat berwarna putih, air mani orang perempuan cair berwarna kuning.” (Riwayat Muslim jld: 3, no hadis: 222). Berdasarkan hadis ini jelas bahawa air mani sifatnya pekat. Ada pun air mazi sifatnya cair.

Kebiasaannya air mazi keluar apabila seseorang itu berfikir tentang jimak, atau ia keluar ketika seseorang itu memulakan jimak. Dari sudut hukumnya pula apabila keluar air mani seseorang itu wajib mandi hadas besar. Selagi mana dia tidak mengangkat hadas besar selagi itu dia dikira dalam keadaan junub. Maka dia terhalang daripada melakukan amalan-amalan seharian ini termasuklah solat, baca al-Quran, tawaf di Baitullah dan beberapa amalan yang lain yang perlukan seseorang itu suci daripada hadas besar. Apabila keluarnya air mazi, seseorang itu wajib membersihkan kemaluannya dan pakaian yang terkena air mazi tersebut.

Sekiranya dia berwuduk maka wuduknya terbatal dengan terkeluarnya air mazi. Hukum membersihkan air mazi sama dengan membersihkan air kencing. Ini dapat dilihat dengan apa yang berlaku kepada Ali bin Abi Talib. Beliau berkata yang bermaksud: “Aku merupakan seorang lelaki yang kerap keluar air mazi, maka aku telah menyuruh al-Miqdad supaya bertanya kepada Rasulullah s.a.w., lalu al-Miqdad bertemu Nabi s.a.w. dan bertanya, lantaran baginda menjawab, “Padanya dituntut berwuduk.” (Riwayat al-Bukhari, Ibn Qudamah dalam al-Mughni, jld: 1, hlm: 168)

Dalam keadaan saudara maka perlulah saudara perhatikan sama ada ia air mazi ataupun air mani. Kalau air mazi maka hendaklah saudara membersihkan kemaluan kemudian membersihkan pakaian yang terkena air mazi. Ini kerana hukumnya sama dengan air kencing. Sekiranya saudara kerap keluar air mazi nasihat saya supaya saudara membawa salinan untuk solat seperti kain untuk mengelakkan daripada terlepasnya atau pengabaian solat.


Soalan 3
Baru-baru ini saya ada mendengar ceramah seorang ustaz. Dia menjelaskan yang pergi israk mikraj ialah roh Nabi s.a.w. manakala roh baginda tinggal di Mekah.

Jawapan 3
Saya pernah mendengar pandangan tersebut, namun pendapat tersebut ditolak oleh jumhur ulama, antaranya ibn Kathir, ibn Ishaq, ibn Saad dan selainnya (Mukjizat Rasulullah Ibn Kathir). Semua mereka berpendapat bahawa Rasulullah berisrak mikraj dengan roh dan jasad. Pandangan mereka ini berdasarkan kepada kedudukan bahasa Arab dalam firman Allah yang maksudnya, “Maha suci Allah yang telah menjalankan hambanya pada malam hari dari masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa’….” (al-Israk: 1)

Dalam bahasa Arab perkataan bi abdihi jika diperhatikan dalam perkataan ini ada huruf ‘bi’. Dalam bahasa Arab huruf ba ada maksudnya yang tersendiri. Contohnya jika dikatakan “Ahmad zahaba bi al-sayyarah”, yang bermaksud aku pergi dengan menaiki kereta. Jelas bahawa Ahmad pergi dengan menaiki kereta, memang betul dan tidak akan terlintas Ahmad pergi berasingan dengan kereta. Penjelasan ini adalah berdasarkan kepada bahasa Arab. Cuma seperkara yang suka saya nyatakan di sini ialah apabila manusia melalui kisah israk dan mikraj ia adalah rehlah atau satu perjalanan yang telah diatur oleh Allah yang maha suci lagi maha tinggi. Dialah yang mampu menjalankan hambanya pada jarak yang begitu jauh dalam tempoh yang begitu singkat.

Semua ini merujuk kepada kekuasaan Allah s.w.t. yang tidak dapat dilakukan oleh manusia dan yang tidak dapat dijangkau oleh akal manusia. Ketahuilah kemampuan manusia terhad dan kemampuan Allah tiada batasnya.


Ditanya pada : N/A

Dijawab pada : Accessible melalui Utusan Online seperti alamat URL di atas.

No comments: